KOPETRO SANTUNI ANGGOTA KOPERASI DIKERTIH, TERENGGANU |
KERTIH, 19 Mei 2022 - Aidilfitri tahun ini disambut meriah oleh seluruh umat Islam di Malaysia apabila negara mula memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lalu, selepas dua tahun berturut-turut ia tidak diaraikan berikutan pandemik COVID-19. Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) turut tidak terkecuali dalam meraikan hari lebaran ini dengan menganjurkan majlis rumah terbuka buat anggota-anggota koperasi tersebut Sebuah majlis rumah terbuka telah diadakan hari ini dengan penuh kemeriahan di Kelab Golf & Rekreasi PETRONAS, Kertih.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Encik Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, KOPETRO bakal mengadakan beberapa siri rumah terbuka Aidilfitri di kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah anggota KOPETRO yang ramai.
“Objektif utama rumah terbuka Aidilfitri ini diadakan adalah bagi merapatkan semula hubungansilaturrahim antara pihak pengurusan koperasi dengan anggota-anggota setelah dua tahun tidak dapat mengadakan perjumpaan sebesar ini. Di samping itu, kami berharap dengan adanya majlis sebegini, kita dapat menyemarakkan tradisi sambutan Aidilfitri dalam persekitaran norma baharu,”
kata Ahmad Shakir.
Majlis yang berlangsung seawal jam 12 tengah hari sehingga lewat jam 6 petang telah dihadiri hampir 300 orang anggota KOPETRO, selain rakan-rakan niaga, dan kakitangan KOPETRO yang bekerja di pejabat operasi KOPETRO cawangan Kertih. Kelihatan tetamu-tetamu jemputan hadir dengan berpakaian tradisional bagi menceriakan majlis rumah terbuka Aidilfitri berkenaan yang meriah dihidangkan dengan pelbagai juadah Aidilfitri termasuk makanan istimewa rakyat Terengganu iaitu Nasi Dagang dengan Gulai Ikan Tongkol, Nasi Minyak dan Laksa Terengganu.
KOPETRO akan meneruskan keterujaan sambutan Aidilfitri selepas ini dengan mengadakan rumah terbuka di Kuala Lumpur pada 24 Mei 2022, sebelum ke Melaka pada 26 Mei 2022 dan di Pengerang pada 30 Mei 2022 kelak.
KOPETRO telah ditubuhkan pada 30 Oktober 1980 dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak syarikatnya. KOPETRO terlibat dalam empat bidang perniagaan utama iaitu Servis Kewangan, Pelancongan dan Perhotelan, Makanan dan Minuman dan juga Perdagangan dan Peruncitan.
KOPETRO telah dinobatkan sebagai Koperasi Kedua Terbaik di seluruh Malaysia pada tahun 2021, selain memenangi dua anugerah berprestij pada tahun 2020, iaitu anugerah oleh The Brandlaureate bagi kategori SMEs Bestbrands E-Branding Award dan juga Lang International Corporate Titan Awards.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai KOPETRO, layari laman web www.kopetro.com.my atau ikuti akaun @kopetroberhad di Facebook, Instagram dan YouTube.