LAGU 'SUASANA DI HARI RAYA' NYANYIAN ANUAR ZAIN DAN ELLINA, DIBERIKAN NAFAS BARU DENGAN TAJUK 'SUASANA DI HARI RAYA FAMILI KITA'

SUASANA DI HARI RAYA
KUALA LUMPUR, 15 April 2022 - Barisan penyanyi terkenal tanah air, Adibah Noor, Shidee, Ani Maiyuni, Azan Scan, Bandi Amuk, Dato Fazley Yaakob, Aliff Aziz, dan Aweera telah bergabung untuk merakamkan sebuah lagu sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi. Lagu tersebut turut menampilkan artis berkumpulan NICO G, dan duo Sa.Ya yang dianggotai oleh Saiful Apek dan Yassin, selain penyanyi Nikki Palikat, Suki Low dan penyanyi daripada Indonesia, Upiak Isil. Diterbitkan oleh Oja, lagu berjudul ‘Suasana Di Hari Raya’ nyanyian asal Anuar Zain dan Ellina, telah diberi nafas baharu dengan menggunakan tajuk ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’, menampilkan pelbagai rentak yang bersesuaian dengan genre yang dibawakan oleh kesemua artis yang terlibat.

Menurut Adibah Noor, projek lagu raya ini merupakan hasil mereka buat peminat-peminat yang telah banyak menyokong kerjaya seni mereka selama ini. Sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 memang rata-rata anak seni kehilangan punca pendapatan namun peminat-peminat tidak berhenti menyokong malah terus membantu artis-artis berniaga demi meneruskan kelangsungan hidup.

Sementara itu Penyanyi Shidee, selaku Abang Long kepada artis-artis yang terlibat dalam projek lagu raya ini, memberitahu bahawa kesempatan ini menjadi sebuah memori indah dalam karier beliau kerana dapat menyanyikan lagu raya dengan rakan-rakan artis yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Idea yang dicetuskan oleh Ani Maiyuni yang asalnya hanya perbualan kosong sesama mereka, menjadi kenyataan dalam sekelip mata apabila mereka sepakat untuk menghasilkan projek ini bersama-sama, menurut Azan Scan. Tambah beliau lagi,  hubungan yang terbina 16 orang artis terlibat bermula sejak mereka menyertai sebuah program realiti menjadi semakin akrab seperti sebuah keluarga besar adalah sebab utama mengapa projek ‘suka-suka’ ini sungguh mudah untuk dijayakan.

“Pertama kali mendengar idea menghasilkan lagu ini dicadangkan, kami memang sangat teruja. Pengalaman bekerjasama dalam projek ini sangat menyeronokkan dan kami tidak sabar untuk kongsikan dengan peminat-peminat,” kata Suki Low dan Nikki Palikat.

Bagi Dato’ Fazley Yaakob pula, biarpun masing-masing agak sibuk dengan tuntutan kerja dan ada di kalangan mereka yang menetap di luar kawasan namun demi projek ini dan ukhwah yang telah terbina mereka tetap meluangkan masa. Menurut Dato Fazley, setiap artis yang terlibat mempunyai tugas yang telah diamanahkan dan masing-masing bertungkus-lumus memberikan yang terbaik demi memastikan kejayaan projek ini.

Penyanyi yang popular dengan bait lagu ‘aku belum mandi’ iaitu Upiak Isil turut teruja apabila dipelawa untuk sama-sama merakamkan lagu ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’. Kesemua proses rakaman lagu dan video dibuat sepenuhnya oleh Upiak Isil di Jakarta sebelum dihantar secara atas talian ke Malaysia untuk proses suntingan dan master.

Menggelarkan gabungan mereka sebagai ‘Famili Kita’ lagu berdurasi lebih 4 minit itu telah menjalani penggambaran di sebuah homestay berkonsepkan eko-pelancongan, di 1858 Semungkis yang terletak di Hulu Langat, Selangor, kesemua 16 orang artis telah berkumpul menyiapkan video muzik yang menyelitkan pelbagai aksi lucu yang pastinya mencuit hati penonton-penonton. Dengan berlatar belakangkan suasana desa, video ini memaparkan kemeriahan persiapan sebuah keluarga yang bakal menyambut hari lebaran.
Menceritakan pengalaman sewaktu penggambaran video muzik dijalankan, NICO G berkata suasana seakan-akan Hari Raya benar-benar akan disambut kerana setelah lama mereka tidak bersua antara satu sama lain, akhirnya mereka berkumpul untuk menjayakan penggambaran video muzik ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’.

“Bila keluarga besar sudah berkumpul, memang tak kering gusi! Ada sahaja yang cuba sakat-menyakat antara satu sama lain,” ujar Bandi Amuk yang turut bersetuju malah menyifatkan projek ini mungkin menjadi satu platform buat mereka untuk terus bergabung lagi di masa hadapan.

Hari ini sebuah majlis pelancaran telah diadakan hari ini bagi mengumumkan kepada peminat-peminat seni tanah air mengenai kelahiran lagu ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’ selain menayangkan secara rasmi buat pertama kalinya video muzik lagu tersebut. Dihadiri rakan-rakan media cetak, media elektronik dan blogger, para tetamu telah disajikan dengan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah. Turut diraikan adalah anak-anak yatim daripada Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, yang terletak di Kampung Melayu Subang, Shah Alam.

Lagu ' Suasana Di Hari Raya Famili Kita' telah mula diedarkan sejak 8 April 2022 yang lalu, di semua platform muzik digital dan video muzik boleh ditonton di platform YouTube berikut: https://bit.ly/familikitarayamv
Previous Post Next Post