JURUTERBANG WANITA AIRASIA BAWA NAELOFAR HIJAB KE AWAN BIRU


AirAsia dan jenama hijab terkemuka, Naelofar Hijab telah bekerjasama untuk melancarkan hijab yang direka secara eksklusif untuk dipakai oleh juruterbang wanita yang berhijab dalam syarikat penerbangan itu.

Mulai bulan Jun 2017, juruterbang wanita AirAsia dan AirAsia X yang berhijab akan mengenakan Naelofar Hijab berwarna putih yang direka khas untuk pekerjaan mereka.

Rudy Khaw, Ketua Bahagian Penjenamaan AirAsia berkata, “Buat julung kalinya, AirAsia berkerjasama dengan pereka hijab untuk menghasilkan hijab bagi para juruterbang wanita kami. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Naelofar Hijab untuk menghasilkan rekaan yang melengkapi gaya juruterbang wanita yang berhijab, di samping memberikan keselesaan dalam menjalankan tugas mereka. Kini, kami juga merancang untuk bekerjasama dengan Naelofar Hijab untuk memberikan nafas baharu kepada rekaan hijab untuk semua pekerja lain.”

Neelofa, Pengasas Naelofar Hijab pula berkata, ”Kami teruja untuk bekerjasama dengan AirAsia bagi mereka semula hijab untuk para juruterbang wanita mereka. Kesempatan untuk menghasilkan rekaan baharu hijab tersebut adalah sangat menarik dan memberi kami peluang untuk mencipta hijab yang selesa, praktikal, dan bergaya. Kerjasama bersama AirAsia dan para juruterbang wanita mereka dalam dalam setiap aspek rekaan merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan dan kami berpuas hati dengan produk yang dihasilkan. Kami juga berbangga Naelofar hijab akan terbang tinggi bersama juruterbang AirAsia".

Para juruterbang wanita AirAsia yang berhijab melibatkan diri sepanjang proses mereka hijab tersebut di mana mereka kerjasama dengan pereka Naelofar Hijab untuk menghasilkan hijab yang praktikal dan sesuai untuk tugasan harian mereka. Sebelum dilancarkan, prototaip yang dihasilkan telah menjalani pelbagai ujian pemakaian oleh para juruterbang wanita syarikat penerbangan itu. Hijab terbaru ini menggunakan sejenis fabrik istimewa dengan ciri-ciri tambahan yang amat fleksibel untuk memudahkan pergerakan para pemakai, serta dihiasi simbol Naelofar Hijab bertatahkan kristal Swarovski untuk sentuhan akhir.

Mengenai Kumpulan AirAsia
AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dan terbesar di Asia, dengan rangkaian perkhidmatan yang paling meluas dengan lebih 120 destinasi. Sejak mula beroperasi pada tahun 2001, AirAsia telah membawa lebih 330 juta penumpang dan berkembang dari hanya dua pesawat kepada lebih 200. Kami amat berbangga menjadi Asean tulen (Association of Southeast Asian Nations) dengan operasi yang telah dilancarkan di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India dan Jepun, serta merangkumi
seluruh Asia, Australia, New Zealand dan Timur Tengah. AirAsia telah dianugerahkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dalam tinjauan tahunan syarikat penerbangan dunia oleh Skytrax selama lapan tahun berturut – turut dari 2009 sehingga 2016. AirAsia juga telah dianugerahkan
peneraju Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Dunia untuk empat tahun berturut-turut di World Travel Awards 2016, dan menjadi syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang memenangi Perkhidmatan Dalam Penerbangan Terbaik Dunia.
Previous Post Next Post